Pelancongan Benteng Kuto Besak

Tampak hadapan Benteng Kuto Besak, dilihat dari kejauhan

Bersebelahan dengan kubu terdapat muzium bandar, iaitu Muzium Sultan Mahmud Badaruddin II, yang dahulu didirikan sebagai kediaman Residen Belanda yang pertama, J.L. van Sevenhoven.[2] Bangunan ini cukup besar, dengan dua tangga mengesankan yang menurun daripada lantai tingkat atas ke bahagian depan bangunan, dan memiliki bumbung berbentuk "Limas", sejenis bumbung yang biasanya digunakan di rumah-rumah elit tempatan.[2] Pada bahagian dalam dan luar muzium bertaburan batu-batuan dan patung-patung peninggalan arkeologi.[2] Lokasi bangunan ini sebenarnya adalah bekas kubu kedua yang lebih tua, yang dipanggil Benteng Kuto Tengkurek atau Benteng Kuto Lamo, yang telah dirobohkan oleh Belanda.[2]

Di hadapan kubu terdapat medan terbuka, yang dipanggil Plaza Benteng Kuto Besak (Plaza BKB) oleh rakyat tempatan.[3] Medan ini terletak di pinggir Sungai Musi dan bersebelahan dengan Jambatan Ampera.[3] Keindahan Sungai Musi dapat dilihat dengan jelas melalui aktiviti-aktiviti di sungai dan juga pada bangunan-bangunan di sekitar kawasan.[3] Setiap hari, Plaza BKB senantiasa ramai dengan pengunjung, untuk berehat atau makan hidangan tempatan, sejak dari tengah hari sehingga petang.[3] Lampu berwarna-warni mulai menerangi landskap apabila matahari mulai terbenam, dan ia menjadi tarikan utama untuk pelancong di bandar.[3]